KUALA LUMPUR: Kesaksamaan jantina menjadi antara objektif yang digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan 2030 anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tentunya penumpuan kepada memperkasakan peranan wanita dalam segenap aspek kehidupan.
Dalam banyak hal di Malaysia, kaum hawa masih dipandang secara dari kaca mata tradisional meski pun zaman sudah berubah dan bergerak dengan cukup pantas, salah satu petunjuknya terlihat pada kadar penyertaan mereka dalam tenaga buruh negara.
Pada 2020, peratusannya berada pada angka 55.3 peratus, menyaksikan peningkatan daripada tahun sebelumnya dan semakin meningkat untuk tahun-tahun kemudiannya, tetapi hanya naik 0.5 peratus kepada 55.8 peratus pada 2022.
Sasaran 60 peratus kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh dalam tempoh 10 tahun yang digariskan dalam Dasar Ekonomi Madani diumum pada Julai tempoh hari secara jelas menyatakan komitmen Malaysia untuk menyahut seruan PBB itu.
Sejak 2020, Malaysia Women and Girls Forum (MWGF) dianjurkan sebagai satu inisiatif PBB bersama Tabung Penduduk PBB (UNFPA) Malaysia sebagai penyelesaian kepada isu-isu pokok sekitar kebajikan dan hak wanita dan perempuan di negara ini dan memacu perjalanan Malaysia menuju matlamat kelestarian dalam tempoh tujuh tahun berbaki ini.
Dikendalikan oleh Tehmina Kaoosji, penganjuran MWGF tahun ini melihat semula segala yang telah diperbincangkan dalam tiga edisi yang lepas, mengumpulkan resolusi-resolusi yang dibentuk dan membahagikannya kepada tiga bidang perbincangan teras iaitu Pemerkasaan Ekonomi Wanita; Perundangan Kesaksamaan Jantina; serta Norma Jantina, Kesedaran dan Pendidikan Seksualiti Menyeluruh.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan bahawa antara faktor yang menyebabkan golongan wanita tidak dapat memainkan peranan lebih besar dalam tenaga kerja adalah kerana azalinya dipertanggungjawab untuk menjaga keluarga.
Apabila minda dan jasmani ditumpu kepada membesarkan anak-anak khususnya, menjaga kebajikan suaminya serta juga orang tuanya, wanita sukar mendaki tangga kariernya.
“Sejak sekian lama wanita lebih cemerlang daripada lelaki dari segi pencapaian akademik, namun kekurangan penyertaan mereka dalam sektor pekerjaan jelas menunjukkan bahawa sumber manusia di negara ini tidak dimanfaatkan sebaiknya,” kata beliau.
Menjaga keluarga dan pada masa sama mahu juga mengejar impian dalam kerjaya - menggalas beban yang banyak ini dilihat umum sebagai satu lumrah dan tugas hakiki sebagai wanita, namun hakikatnya ia memberi kesan kepada kesihatan mental mereka.
Maka beban tanggungjawab seharusnya digalas dengan saksama antara jantina, dan untuk membolehkan ia berlaku, perlunya wujud sebuah ekosistem yang sejagat dan menyeluruh.
“Apa yang kita perlukan adalah perkhidmatan kesihatan sejagat, berkualiti, didorong dengan dasar serta infrastruktur yang memudahcarakan.
“Persekitaran kerja perlu mesra keluarga, pengaturan kerja yang anjal untuk kaum wanita dan lelaki serta untuk memastikan tiada yang tertinggal, semua intervensi ini juga perlu disesuaikan untuk golongan berpendapatan rendah,” tegas Penolong Perwakilan UNFPA Malaysia, Tengku Aira Tengku Razif.
Selain itu, antara penyelesaian awal dan segera yang boleh dilakukan dalam merealisasikan perkongsian tanggungjawab adalah tempoh cuti bersalin yang dilihat perlu saksama antara si isteri dengan si suami.
Ketika ini sudah ada peningkatan pada jumlah hari cuti bersalin untuk wanita iaitu 98 hari tetapi untuk suaminya hanya tujuh hari, menampakkan bahawa beban menjaga anak masih diletakkan pada wanita sebahagian besarnya.
“Perkara ini (tempoh cuti bersalin sama antara suami dengan isteri) telah dibuktikan berjaya memberi manfaat di negara-negara Eropah, hubungan antara bapa dengan anak juga lebih erat jadi sebagai keluarga kesihatan anak juga lebih baik.
“Ia juga memberi manfaat kepada wanita dari segi mengurangkan jurang pendapatan antara jantina,” maklum Tengku Aira.
Begitu pun cabarannya sudah pasti kos, di mana majikan perlu menanggung perbelanjaan syarikat sepanjang ketiadaan pekerja mereka dan disebabkan ini, ada laporan menunjukkan bahawa majikan lebih gemar mengambil lelaki bekerja berbanding wanita.
Kita tidak mahu wujud dan berleluasanya diskriminasi pengambilan pekerja, tegas penganalisis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Lee Min Hui, maka penstrukturan cuti ibu bapa perlu diperhalusi dan disusun sebaiknya.
“Antara kerajaan, majikan dan pekerja mereka sendiri boleh berkongsi kos tersebut melalui insurans sosial atau insurans pekerjaan.
“Ini penting dalam memastikan bahawa ibu bapa dapat bekerjasama dalam penjagaan anak mereka di rumah dan pada akhirnya hubungan wanita dengan pasaran kerja serta pertumbuhan karier mereka tidak terjejas,” ujar beliau.
Banyak yang telah dibincangkan, yang jelas pokoknya daripada setiap perbincangan adalah kesaksamaan dapat dicapai dengan meruntuhkan tembok yang menghalang wanita untuk difahami dan dipenuhi keperluannya.
Ia merangkumi akses kepada hak dan kesihatan seksual dan reproduktif, tempat kerja yang bebas diskriminasi jantina, menjadikan ekonomi penjagaan ketara dan dapat diakses setiap lapisan masyarakat, cuti ibu bapa yang lebih saksama, program kesedaran untuk menghapuskan norma jantina bagi kerja-kerja penjagaan, serta memastikan wanita punyai hak kewarganegaraan yang sama.
Jika semua ini dilaksanakan, tidak mustahil Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang lebih makmur dan harmoni tanpa perlu menunggu lebih lama.
Israr Khalid
Fri Dec 22 2023
MWGF tahun ini melihat semula perbincangan tiga edisi lepas, mengumpulkan resolusi dan membahagikannya kepada tiga bidang perbincangan teras.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 20 Mei 2024.
Hubungan diplomatik Malaysia-China raih pencapaian penting - Teo
Malaysia dan China telah meraih pencapaian penting dalam setengah abad hubungan diplomatik, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Tumpuan Selasa –21 Mei 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
KP Kementerian Luar Singapura dijatuhkan hukuman penjara, salah guna beg diplomatik
Oh menghadapi dua pertuduhan menipu kerana menyalahgunakan perkhidmatan beg diplomatik.
10 Berita Pilihan - (20 Mei 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Cuba ceroboh masuk Istana Negara, dua individu dipenjara dua bulan
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 447/451 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Kerajaan Malaysia bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk bawa keluar pasukan perubatan MERCY
Kerajaan Malaysia sedang bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk membawa keluar sebuah pasukan perubatan Malaysia yang terperangkap di Rafah, Gaza, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra).
PM Anwar ulangi gesaannya untuk AS hentikan keganasan Israel di Gaza
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi gesaannya supaya Amerika Syarikat (AS) melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk menghentikan keganasan Israel di Gaza.
10 individu ditahan dalam enam serbuan khas aktiviti penyeludupan
Polis menahan 10 individu termasuk seorang wanita dalam enam serbuan menerusi operasi khas Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas.
MWGF 2023 - Kesaksamaan jantina bermula dengan empati
Beban tanggungjawab seharusnya digalas dengan saksama antara lelaki dan wanita, dan untuk membolehkan ia berlaku, perlunya wujud sebuah ekosistem yang sejagat dan menyeluruh.